Permulaan Bagi Sebuah Pengakhiran?



Tersebutlah kisah kanak-kanak riang UPSR 2003, bertuah kerana menjadi kanak-kanak terpilih SBPI Sabak Bernam yang masyhur kejauhannya. 7 Januari 2004 jadi saksi, kanak-kanak ini disambut para abang dengan kakak yang di kemudian hari barulah kenal dengan feel mereka yang aneka ragam kemudian diikuti dengan pelajar ambilan kedua pada 24 Februari 2004. Maka bermulalah epik kembara 91 kanak-kanak terpilih ini di bumi SBPI Sabak Bernam yang hijau lagi permai.

Mereka bersatu hati meniti zaman peralihan dari kanak-kanak ke zaman remaja, bagai tranformasi ulat beluncas menjadi rama-rama nan indah.Sehari ke sehari, mereka menghadam segala macam ilmu, dari subjek-subjek yang diajar guru di dalam kelas, membawa ke mengenal makcik-makcik Dewan Makan a.k.a Kafe d' Ria yang mesra melayan keletah pelajar SBPI Sabak Bernam yang kelaparan, hinggalah tingkah laku para senior yang digeruni yang kelak bakal melekat jua pada jiwa kami tatkala status senior dalam genggaman. Membasuh baju sendiri, menyeterika, membersihkan halaman asrama bahkan tandas-tandas, sudah menjadi rutin mingguan dengan pelbagai variasi teknik yang diwarisi.

Rupanya umur yang tambah berkurang mendekatkan kami kepada Penilaian Menengah Rendah 2006. Semuanya fokus sepenuh-penuhnya kepada pelajaran, tanpa mengabaikan aspek kokurikulum jua. Yang dinanti akhirnya tiba, dihadapi dengan bekal ilmu, berlaukkan doa restu para guru dan ibu bapa, tak lupa tawakal pada Yang Esa. Sebelum debaran keputusan menyesakkan dada, kami menikmati aktiviti Post PMR hingga menggegar pantai Teluk Sekadeh dengan kerjasama pelajar STF, bersama mantan guru kami Sir Abdul Rashid Yaacob. Alhamdulillah, 49 rakan seperjuangan berjaya memecahkan tembok rekod yang dibina pelajar tahun-tahun sebelumnya dengan keputusan 9A, bersama keputusan 100% lulus. Tak dilupa, seorang rakan perjuangan kita jua terpilih antara salah seorang pelajar terbaik PMR negeri Selangor.

Kenangan-kenangan indah ini dibawa buat motivasi menempuh perjuangan SPM 2008. Tingkatan 4 kami harungi dengan rakan-rakan baru yang mendaftar pada 31 Januari 2007 seramai 50 orang, menggenapkan keluarga besar 140 orang pelajar tingkatan 4 2007. Lebih manis, atas idea mantan pengetua, Encik Halim Bin Mansor a.k.a Walid telah mewujudkan organisasi batch yang bergelar PERMATA. Bagai bulan jatuh ke riba, kami diketuai oleh Guru Cemerlang Matematik Tambahan, Puan Azizah Bt. Kamar yang begitu prihatin terhadap hal-ehwal pelajar tingkatan 4. Tingkatan 4 bukanlah tahun bulan madu buat kami, sebaliknya penuh berisi suntikan semangat dan bimbingan dari semua guru, khasnya guru-guru PERMATA 4 ketika itu.

Maju dan terus MAJU!...semangat itulah yang Puan Azizah pupuk dalam jiwa kami membawa ke Tingkatan 5 dengan organisasi PERMATA masih dipegang oleh Puan Azizah. Tutur jujur saya mengatakan kami bukanlah batch terbaik, batch idaman para guru namun kami BANGKIT menyahut cabaran yang mendatang itu. Itulah yang kami buktikan dalam PMR 2006 yang ingin kami ulangi dalam SPM 2008. Penuh iltizam dan tekad, kami sentiasa berusaha untuk meningkat prestasi akademik kami, di samping menjaga akhlaq dan disiplin kami kerana keberkatan ilmu kami terletak pada keredaan guru-guru kami. Peristiwa indah tetap terukir jua, Malam Panca Intiha yang berlangsung di Hotel De Palma Kuala Selangor mendapat perhatian para guru, yang terisi dengan pelbagai program dan acara yang menarik. Malam itu jugalah yang mempopularkan nama 'The Zenith', yang akhirnya termaktub menjadi nama batch kami.


***

12 Mac 2009 mengundang gelisah. Dari Kuala Lumpur, bahkan Kedah sanggup bertandang lagi ke SBPISB, dek kerana debaran keputusan SPM 2008. Syukur pada-Nya, Gred Purata Sekolah tahun 2008 menunjukkan sedikit peningkatan berbanding 2007[baca lanjut di sini]. Lantas sekolah telah menobatkan Nur Hanani Bt Ruzman sebagai Pelajar Terbaik SPM 2008 dengan keputusan 11A1, manakala Izzaty Ulya Munirah Bt Abd Aziz selaku penerima Anugerah Emas SPM 2008[baca lanjut di sini].

Adakah ini semua permulaan bagi sebuah pengakhiran? Justeru blog ini terhasil bagi mengumpulkan informasi berkenaan para pelajar The Zenith SBPI Sabak Bernam 0408. Moga ianya terus dapat bermanfaat buat anda semua^_^.

1 bicara tetamu:

Fakha mengimbau kenangan..
huhu..

Facebook